X
ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa selepas ditemui pada 4.20 petang. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa selepas ditemui pada 4.20 petang. FOTO Ihsan Bomba.
Zuhainy Zulkiffli


PEMANCING yang dilapor hilang selepas terjatuh dalam laut dekat Padang Kota Lama di Georgetown ditemui lemas, hari ini.

Mayat lelaki itu ditemui hampir lima jam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada 11.50 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan SAR sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, operasi turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum mayat mangsa ditemui pada 4.20 petang.

"Mangsa dikatakan turun ke laut bagi menarik tali pancing yang tersangkut, namun tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

"Mayat ditemui berhampiran lokasi dia dilapor hilang," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Orang awam diminta supaya melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:20 PM