X
AHMAD Burok (kiri). FOTO NAZRI ABU BAKAR
AHMAD Burok (kiri). FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


KEBENARAN mendirikan solat di masjid buat warga emas seakan hadiah paling bermakna buat Ahmad Burok, 84, selepas rutin hariannya itu terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad terharu dan lega apabila kerajaan akhirnya memberi kelonggaran untuk warga sepertinya mendirikan solat fardu dan Jumaat.

"Sayu hati apabila melihat orang ramai diberi kelonggaran mendirikan solat tetapi yang melebihi 70 tahun tidak dibenarkan kerana bimbang risiko jangkitan.

"Namun, ia seolah-olah sudah kembali seperti biasa walaupun perlu mematuhi Prosedur standard Operasi (SOP) yang ketat.

"Biasanya saya menunggang motosikal untuk solat fardu di masjid Kampung Paya Rumput termasuk Isyak dan Subuh. Alhamdulillah kesihatan masih baik dan saya akan ke masjid selagi termampu," katanya bersemangat.

Beliau antara warga emas yang masih kuat untuk memijak tangga masjid sekaligus wajar menjadi idola generasi muda kerana menganggap masjid seperti rumah keduanya walaupun tenaga tidak sekuat dahulu.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga membenarkan jemaah solat Jumaat di negeri ini melebihi 250 individu mulai minggu ini.

Bagaimanapun, jemaah tetap disyaratkan supaya menjaga penjarakan sosial satu meter dengan jumlah maksimum jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti sebenar sesebuah masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:37 PM