X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS kini sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Ayien Medan kerana terbabit dalam satu kes ragut di sebuah warung di Jalan 21/21, Sea Park di Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian 9 malam itu, telefon bimbit seorang lelaki berusia 54 tahun diragut suspek dan tiga lagi rakan jenayahnya ketika mangsa makan di warung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, susulan daripada laporan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan lanjut dan berjaya mengesan dua lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan sama.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditahan manakala lelaki dikenali sebagai Ayien Medan meloloskan diri.

"Polis berjaya menahan suspek pertama kurang satu jam selepas laporan polis dibuat dan susulan penahanan lelaki terbabit polis kemudian berjaya mengesan teman wanita Ayien Medan berusia 19 tahun tidak lama selepas itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui semula telefon bimbit milik mangsa dan kedua-dua suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana ragut.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mengenali Ayien Medan agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662176.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 9:54 PM