GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


HANYA kerana berselisih faham, seorang lelaki tergamak memukul kepala isterinya berulang kali menggunakan besi pengunci stereng.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun yang juga suri rumah menerima lapan jahitan di kepala selepas dipukul berhampiran kawasan parkir Blok F, Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam kereta milik suspek berusia 26 tahun.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa pergi ke lokasi kejadian untuk membasuh baju di rumah ibunya yang terletak di Blok F di flat itu.

"Insiden berlaku apabila mangsa bertengkar mulut dengan suspek susulan perselisihan faham.

"Mangsa dikatakan menumbuk dada suspek menyebabkan suspek mencapai besi pengunci stereng di tempat duduk pemandu sebelum memukul kepala mangsa beberapa kali," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, ibu mangsa yang melihat kejadian itu bergegas menyelamatkan anaknya sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Pelabuhan Klang berjaya menahan suspek yang menaiki kereta di Jalan Persiaran Sireh Junjung, Kampung Kereta Api, Pelabuhan Klang, 2.30 petang, Rabu lalu.

"Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:24 PM