LUQMAN bersama Hubert. FOTO IHSAN PEMBACA
LUQMAN bersama Hubert. FOTO IHSAN PEMBACA
Mahaizura Abd Malik


"SAYA percaya situasi Covid-19 negara kita terkawal kerana adanya dedikasi dan komitmen jitu Dr Noor Hisham.

"Memang saya tak dapat buat banyak tetapi saya tahu melukis, jadi saya dedikasikan lakaran ini untuk menghargai jasa Dr Hisham," kata Luqman Hakim Mohd Khialdin, 27.

Pemuda dilahirkan dengan autisme ringan itu tular selepas rakannya, Hubert Ian Lee, 29, berkongsi karya Luqman di Twitter, Rabu lalu dengan menghasilkan wajah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada cawan Starbucks.

Luqman berkata, dia terharu hasil lakarannya kali pertama meraih perhatian luar biasa selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia lukisan."

"Sudah lebih 10 tahun saya berkarya, namun bakat saya hanya dikenali selepas lakaran itu tular.

"Perasaan saya terlampau gembira apatah lagi apabila Dr Noor Hisham menyedari kehadiran lakaran itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

LAKARAN Dr Noor Hisham hasil karya Luqman. FOTO IHSAN PEMBACA
LAKARAN Dr Noor Hisham hasil karya Luqman. FOTO IHSAN PEMBACA

Katanya, dia mengambil masa hanya sejam bagi menyiapkan lakaran realistik berkenaan menggunakan pen dakwat pigmen kalis air dan campuran 'render marker'.

"Saya teringin hendak bersua muka dan menyampaikan sendiri lukisan itu kepada Dr Noor Hisham.

"Mungkin suatu hari nanti, saya harap ada peluang itu dan dia sudi bertemu saya," katanya yang menggunakan luqmanhakimarts dalam Instagram.

Sementara itu, Hubert berkata, sebagai rakan dia sentiasa menyokong sahabat baiknya yang dikenali itu sejak empat tahun lalu.

"Persahabatan kami bermula kerana Luqman kerap menghadiri sesi ceramah motivasi dianjurkan saya. Sejak itu kami rapat dan kali pertama melihat lukisannya saya amat kagum kerana setanding hasil karya dunia.

"Sebagai rakan, saya hanya membantu menunaikan hasrat Luqman sekaligus dapat menonjolkan bakatnya yang selama ini tidak pernah diketengahkan.

"Saya gembira selepas tular itu, bakatnya diketahui orang ramai malah ada yang mula mempercayai hasil kerjanya untuk menghasilkan lukisan potret," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:37 PM