RUMAH Pengasih di Jalan Syers Bukit Tunku. FOTO arkib NSTP
RUMAH Pengasih di Jalan Syers Bukit Tunku. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Pengasih Malaysia (Pengasih) masih menunggu tarikh akhir berpindah dari Jalan Syers Bukit Tunku, Kuala Lumpur ke Kampung Cinta Manis, Bentong, Pahang yang dijadual dalam masa terdekat.

Ia bakal menamatkan tempoh 29 tahun pusat pemulihan itu berbakti kepada penagih yang mendapatkan bantuan untuk bebas daripada dadah.

Presidennya, Ramli Abdul Samad berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima surat peringatan mengenai perkara itu daripada pembeli tanah berkenaan, namun masih belum mendapat tarikh sebenar untuk berpindah.

Katanya, sepatutnya penghuni di situ dipindahkan ke Bentong hujung bulan ini namun ia terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Pengasih sudah mengemukakan rayuan kepada pihak terbabit dan masih menunggu makluman rasmi mengenainya.

"Setakat ini, kita ada 65 penghuni daripada kapasiti penuh seramai 120 orang. Jadi selepas PKP masuk ke fasa baru ini, kita membuka kembali penempatan penghuni baru di Pengasih," katanya.

Ramli berkata, pihaknya masih memerlukan dana untuk membina klinik pemulihan dan kesihatan, surau serta dewan untuk kegunaan penghuni.

"Secara keseluruhan, kami memerlukan sebanyak RM8 juta untuk membina satu kompleks lengkap yang memuatkan 250 pesakit berbanding hanya 120 di sini. Kami menyeru syarikat dan individu untuk menyalurkan sumbangan untuk proses pembangunan tempat baru ini yang dijangka dipindahkan dalam masa terdekat.

"Sebelum ini pembinaan yang sedang berjalan terpaksa dihentikan kerana PKP dan akan disambung sedikit masa lagi, bergantung kepada dana yang kita terima daripada syarikat korporat dan pelbagai pihak," katanya.

Isu perpindahan Pengasih dari lokasi sedia ada turut mendapat perhatian Raja Pop Datuk Jamal Abdillah yang mengharapkan peranan penting membantu penagih dapat terus dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 3:46 PM