SEBAHAGIAN perajurit muda pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (Lelaki) Siri 191/2019 di PUSASDA. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
SEBAHAGIAN perajurit muda pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (Lelaki) Siri 191/2019 di PUSASDA. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Mohd Khidir Zakaria


PERBARISAN dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh, selain setiap anggota perbarisan memakai penutup mulut bercorak celoreng buat pertama kali.

Itu kelainan yang ditampilkan pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 191/19 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di Port Dickson, hari ini.

Ia adalah normal baharu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dipatuhi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, seramai 1,782 perajurit muda menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat, yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu 891 anggota bagi setiap sesi.

"Lazimnya, perbarisan tamat latihan turut dihadiri ibu bapa dan keluarga perajurit muda, tetapi buat pertama kali tidak ia dibenarkan.

"Keluarga hanya boleh melihat acara ini secara langsung menerusi media sosial.

"Majlis ini adalah tanda kenangan kepada mereka yang menamatkan latihan sebab itu kita cuba sebaik mungkin mengadakan acara ini dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya kepada dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis itu hari ini.

ZAMBROSE (kanan) menyampaikan hadiah kecemerlangan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik kepada Muhammad Azumi (kiri). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
ZAMBROSE (kanan) menyampaikan hadiah kecemerlangan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik kepada Muhammad Azumi (kiri). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Zamrose berkata, pengambilan perajurit muda masih diteruskan walaupun negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, tarikh lapor diri bagi pengambilan baharu ditangguhkan kepada Ogos.

"Sebelum ini setiap enam bulan ada dua pengambilan baharu tetapi disebabkan Covid-19, kita habiskan sesi enam bulan itu terlebih dahulu.

"Selepas itu baru kita buat pengambilan baharu bagi mengelakkan pertindihan kerana tiada pengurangan pengambilan, dengan purata 2,000 bagi setiap sesi," katanya.

Beliau berkata, SOP ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut situasi dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kesemua perajurit muda lelaki itu menamatkan latihan asas ketenteraan selepas menjalani latihan selama enam bulan bermula 22 November tahun lalu.

Sementara itu, Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul Muhamad Azumi Ibrahim, 21, dari Kamunting, Perak manakala Perajurit Muda Kawad Terbaik dianugerahkan kepada Muhaymin Kadir Abd Min, 22, dari Semporna, Sabah.

Ijmal Aminy Mohamed Said, 23, dari Kuala Kangsar, Perak menerima anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik, Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik dianugerahkan kepada Noor Azrulhady Mohd Noor Azman, 20, dari Pasir Puteh, Kelantan manakala Perajurit Muda Penembak Terbaik diraih Mohammad Ikhmal Jafpree, 24, dari Batu Pahat, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 4:00 PM