MUHD Nur Syam (kiri) Thampapol Chauncham mengadakan rondaan di sempadan perairan sungai Golok sempadan Malaysia-Thailand bagi mencari dua lagi mangsa hilang dalam tragedi bot  karam di Perairan Muara Kemasin  yang memasuki hari keenam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUHD Nur Syam (kiri) Thampapol Chauncham mengadakan rondaan di sempadan perairan sungai Golok sempadan Malaysia-Thailand bagi mencari dua lagi mangsa hilang dalam tragedi bot karam di Perairan Muara Kemasin yang memasuki hari keenam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


MISI pencarian dua lagi mangsa bot terbalik akibat dipukul ribut dan ombak di perairan Kemasin, Bachok, Isnin lalu turut mendapat kerjasama Polis Marin Diraja Thailand.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kerjasama itu sudah bermula pada hari pertama misi mencari dan menyelamat (SAR) dan sektor pencarian di sekitar perairan Takbhai.

"Polis Marin Diraja Thailand mempunyai kepakaran dan pengalaman tinggi dalam skop tugasan mereka dan kita memberi ruang untuk mereka mencari di sektor tersendiri.

"Mereka juga mendapatkan bantuan daripada nelayan Thailand untuk sama-sama terbabit dalam SAR," katanya ketika ditemui ketika rondaan di sepanjang perairan Sungai Golok di Tumpat, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Polis Marin Diraja Thailand (Takbhai), Mejar Polis Thampapol Chauncham.

Bagi misi pencarian yang memasuki hari keenam pada hari ini, beliau berkata, skop tugasan masih sama, namun sektor diubah mengikut arus dan situasi laut serta keadaan angin semasa.

Katanya, pencarian merangkumi tengah lautan serta pesisir pantai membabitkan 15 bot pelbagai jenis dan saiz dengan keanggotaan seramai 81 anggota dan pegawai.

"Secara keseluruhan hari ini, radius pencarian merangkumi 1,600 batu nautika dan perbincangan lanjut akan terus dibuat.

"Berdasarkan data kajian, dua mangsa yang belum ditemui itu ada kemungkinan menghala ke arah Timur Laut iaitu Pulau Perhentian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 4:16 PM