FARAHANA mengambil barangan yang terselamat selepas kediamannya hangus di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina.
FARAHANA mengambil barangan yang terselamat selepas kediamannya hangus di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina.
Hassan Omar


"ALHAMDULILLAH, terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi membantu membina semula rumah kami," kata Farahana Anuar, 24.

Kediaman didiami Farahana bersama ibu, Noraspalela Ayob, 45; nenek, Salmah Kassim, 81; abang, Mohd Shahidan, 25, dan dua adik, Mohd Faiz, 20, Mohd Faizal, 10, musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina dekat Alor Gajah, Isnin lalu.

Pekerja syarikat perunding perkahwinan itu berkata, mereka amat bersyukur dengan kesudian kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi membina kediaman mereka.

"Kalau harap pada pendapatan saya dan ibu yang bekerja sebagai kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memang tidak mampu untuk membina semula rumah.

"Kami amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali kerana prihatin terhadap nasib kami sekeluarga," katanya ketika ditemui hari ini.

Farahana berkata, selepas kehilangan kediaman, mereka sekeluarga terpaksa menumpang tinggal di kediaman adik ibunya di Taman Wira Emas, Lubok Cina.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi Isnin lalu, tiga motosikal turut musnah, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Api dari garaj motosikal disedari Farahana selepas terbau asap sebelum mengejutkan ahli keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 5:07 PM