GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyelaraskan pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT) kepada semester hadapan.

Ia bagi membolehkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan menyeluruh dapat disediakan sebelum dikeluarkan kepada umum untuk tindakan selanjutnya.

Presidennya Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengenai pembukaan semula institusi baru-baru ini disambut baik kerana ia adalah berita yang ditunggu-tunggu banyak pihak.

"Namun, kenyataan itu bersifat umum dan kementerian berkaitan masih belum mengeluarkan sebarang bentuk SOP yang jelas berhubung kenyataan ini.

"Sudah tentu pembukaan semula institusi pengajian tinggi ini dinantikan semua pelajar kerana operasi pengajaran dan pembelajaran secara fizikal dapat dijalankan seperti biasa.

"Situasi ini memberi kemudahan kepada semua pihak termasuk pensyarah untuk menyampaikan ilmu, berbanding pembelajaran secara dalam talian yang mempunyai pelbagai kekangan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan menetapkan pembukaan semester akan datang hanya bermula Oktober menyebabkan ada penuntut yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung termasuk mereka dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, penyelarasan akan memberi kemudahan kepada semua pihak termasuk pensyarah untuk menyampaikan ilmu, berbanding pembelajaran secara dalam talian yang mempunyai pelbagai kekangan sebelum ini.

"Pihak yang terbabit terutamanya pelajar juga perlu membuat persediaan sebaik mungkin sebelum kembali ke kampus.

"Hal ini kerana terdapat keresahan majoriti pelajar yang terkesan dengan kos untuk kembali semula ke IPT masing-masing sedangkan mereka baru saja selesai mengosongkan bilik.

"Selain itu pelajar dari Sabah dan Sarawak, pelajar yang baru saja membatalkan kontrak rumah sewa mereka adalah antara golongan yang paling terkesan sekiranya mereka perlu pulang pada semester ini," katanya.

Muhammad Amir Asyraf berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi pertimbangan supaya syarikat penerbangan menyelaraskan harga tiket ke paras normal kepada pelajar yang ingin pulang ke universiti.

Katanya, ia akan memberi kelegaan kepada pelajar terutama yang masih berada di kampung halaman di Sabah dan Sarawak yang berpeluang menikmati harga tiket yang berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 5:32 PM