ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan usaha menyelamat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta bapanya.  FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan usaha menyelamat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta bapanya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


PASANGAN suami isteri cemas selepas anak perempuan mereka berusia tiga tahun terperangkap dalam kereta lebih 20 minit di stesen minyak di Lumut, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.35 petang itu, pasangan berusia 30-an terbabit dilaporkan meninggalkan anak mereka dalam kenderaan untuk membayar minyak dan membeli barang.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku pasangan terbabit turut membawa bersama seorang lagi anak lelaki mereka berusia dalam lingkungan setahun.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Manjung, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.52 petang sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa ditinggalkan di dalam kereta itu bersendirian dan sebaik pasangan terbabit kembali, mereka mendapati kereta terkunci.

"Ketika kejadian enjin kereta sudah dimatikan, namun pintu kereta terkunci sendiri. Pasangan terbabit cuba membuka pintu itu namun tidak berjaya sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Bomba mengambil masa beberapa minit untuk membuka pintu kereta berkenaan dengan menggunakan peralatan khas sebelum berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika usaha menyelamat dijalankan, kanak-kanak terbabit tidak menangis dan bermain dengan permainannya cuma terkejut melihat ramai orang di sekelilingnya.

"Kanak-kanak perempuan terbabit berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada keluarganya sebelum operasi ditamatkan pada 7.16 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 10:44 PM