X
KENDERAAN yang diparkir di kawasan tidak sepatutnya. FOTO ihsan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
KENDERAAN yang diparkir di kawasan tidak sepatutnya. FOTO ihsan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Raja Noraina Raja Rahim


ANGGOTA penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan saja dibaling cawan, malah diugut seorang lelaki akibat berang keretanya dikompaun di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, anggota penguat kuasa berusia 24 tahun sedang menjalankan tugas sebelum mendapati sebuah Perodua Myvi diparkir di tempat tidak sepatutnya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, semasa anggota mengeluarkan notis kompaun, pemilik kereta yang berada di restoran di tingkat atas bangunan berhampiran bertindak membaling cawan kaca ke arahnya.

"Bagaimanapun anggota itu sempat mengelak daripada terkena cawan kaca itu. Pemilik kereta kemudian turun dan mengeluarkan kata-kata ugutan kepada anggota sebelum mengalihkan kenderaan," katanya kepada Harian Metro.

Nor Hisham berkata, anggota memaklumkan kejadian kepada penyelia sebelum mereka menghubungi polis.

"Pihak polis tiba di lokasi kejadian dan menahan lelaki itu," katanya.

Katanya, anggota terbabit turut membuat laporan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 11:52 AM