Polis daerah Seberang Perai Utara mengadakan Op Lumba Haram dan Mabuk dengan menahan lima lelaki terdiri daripada tiga pelajar dan dua pekerja kilang di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Jalan Permatang Pauh. FOTO Ihsan PDRM
Polis daerah Seberang Perai Utara mengadakan Op Lumba Haram dan Mabuk dengan menahan lima lelaki terdiri daripada tiga pelajar dan dua pekerja kilang di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Jalan Permatang Pauh. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


LIMA penunggang motosikal termasuk tiga pelajar ditahan kerana mempamerkan aksi berbahaya dalam pemeriksaan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Jalan Permatang Pauh di Butterworth, hari ini.

Op Lumba Haram dan Mabuk di dua lokasi berkenaan bermula 11 malam semalam bagi membanteras kegiatan lumba haram dan mabuk di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menahan tiga pelajar berusia 17 hingga 20 tahun dan dua pekerja kilang berusia 20 dan 23 tahun dalam operasi itu.

"Mereka ditahan kerana didapati menunggang motosikal dengan pelbagai aksi yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Siasatan dibuat mengikut Sekksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihak polis mengeluarkan 47 saman terhadap pemandu kenderaan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi ini, polis turut membuat ujian saringan alkohol ke atas lima pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol tetapi kesemuanya mempunyai tahap alkohol yang rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 3:25 PM