RAMBUTAN yang dimakan mangsa menyebabkan dia tercekik. FOTO ihsan polis
RAMBUTAN yang dimakan mangsa menyebabkan dia tercekik. FOTO ihsan polis
Safuri Kamarudin


KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai tercekik rambutan di Kampung Belakang Masjid, Bukit Selambau, Baling, 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Muhammad Hakim Amsyar Mohd Kasturi makan rambutan yang dikait bapanya.

Katanya, ketika kejadian, bapa bersama ahli keluarga lain sedang mengait buah rambutan di depan rumah datuk mereka di Bukit Selambau.

"Namun tiba-tiba mangsa berlari ke arah abangnya sambil menjerit serta memegang leher.

"Bapanya cuba menepuk belakang mangsa tetapi tidak berhasil," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 3:27 PM