X
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Hassan Omar


PATI pelbagai herba yang dimajukan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi, Melaka berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.

Ini kerana setakat ini herba berkenaan hanya ditanam di negara ini khususnya di MARDI dan terbukti mampu menghasilkan pelbagai produk berkaitan penjagaan diri.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usahawan tempatan tidak seharusnya memperkecilkan kemampuan MARDI Kuala Linggi menghasilkan pati pelbagai herba yang mampu diproses menjadi pelbagai produk yang mampu dikomersialkan.

Menurutnya, sebaliknya mereka harus menyokong penghasilan pati berkenaan bukan setakat untuk menghasilkan produk untuk pasaran tempatan, malah memasarkan pati itu sendiri ke pasaran antarabangsa.

"Hanya ada satu MARDI di negara ini yang menghasilkan pati daripada herba dan ia berpotensi besar untuk dipasarkan ke luar negara," katanya selepas melawat pemprosesan pati herba di MARDI Kuala Linggi hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamed Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

MARDI Kuala Linggi seluas 12 hektar memiliki kawasan penanaman pelbagai jenis herba seperti serai wangi, serai biasa, kayu gelam, resam, paku, nilam, kayu manis, limau kasturi, limau purut dan 'lemon myrtle' serta 'T tree' dari Australia.

Sehubungan itu, Ronald mahu lebih ramai usahawan tempatan menyertai skim inkubator MARDI yang membimbing usahawan yang mendalami aspek penyelidikan dan penghasilan produk dengan menyediakan kursus secara berkala dengan kadar bayaran munasabah.

Terdahulu, Ronald menghabiskan kira-kira sejam melawat Institut Teknologi Unggas (ITU) di Masjid Tanah bagi meninjau operasi institut itu melaksanakan penyelidikan mengenai ayam kampung, ayam daging dan puyuh serta melatih belia yang berminat menjadi usahawan dalam perniagaan itu.

Mengenai ITU, Ronald meminta belia memanfaatkan peluang disediakan di institut berkenaan untuk mendalami industri penternakan ayam kampung, ayam daging dan puyuh kerana ia mempunyai prospek amat cerah.

Menurutnya, beliau berbangga dengan kejayaan ITU melahirkan 169 usahawan dalam industri penternakan berkenaan sejak ia ditubuhkan pada 2007 bagi mengambil-alih fungsi Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Baharu dan Pusat Latihan Ternakan Ayam (PLTA) di Ayer Keroh, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 4:14 PM