X
Rumah Penyembelihan.
Rumah Penyembelihan.
Hassan Omar


PENYEMBELIHAN haiwan korban pada Aidiladha dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh dibuat di masjid dan surau serta kawasan persendirian dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara SOP yang ditetapkan adalah 10 petugas dibenarkan hadir ketika penyembelihan lembu dan kerbau manakala untuk kambing pula hanya empat orang bagi memastikan jarak sosial sentiasa dipatuhi, selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang di tempat penyembelihan.

Petugas harus dipastikan sihat, tiada gejala mengidap Covid-19, bukan penghidap penyakit kronik, bukan kanak-kanak di bawah 12 tahun dan bukan orang sedang dalam siasatan (PUI) serta bukan orang sedang dalam pengawasan (PUS) berkaitan pandemik berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor menegaskan pematuhan SOP itu amat penting bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 ketika anggota komuniti sedang menjalani PKPP hingga hujung Ogos depan.

Selain itu, menurutnya, penyembelihan juga wajib mendapat permit menyembelih jabatan berkenaan yang mensyaratkan setiap haiwan ternakan yang mahu disembelih perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

"Bagaimanapun, kami amat menggalakkan mereka yang ingin melakukan korban supaya menyembelih haiwan ternakan di rumah sembelihan (Abatoir) jabatan ini.

"Kami ada 28 rumah sembelihan di seluruh negara, selain puluhan lagi rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh jabatan," katanya ketika ditemui di program lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Linggi di Melaka hari ini.

Dr Norlizan sebelum itu mengiringi Ronald melawat Institut Teknologi Unggas (ITU) di Masjid Tanah.

Menurutnya, permit penyembelihan harus dikemukakan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum menyembelih haiwan berkenaan bagi membolehkan pegawai jabatan itu hadir untuk memeriksa tahap kesihatan haiwan itu.

"Ia penting bagi memastikan haiwan ternakan yang akan dikorbankan bebas daripada penyakit, selain mengawal penyakit berkaitan ternakan dan sebarang pemindahan haiwan ternakan, karkas dan daging perlu mendapat kebenaran pemindahan daripada jabatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 4:50 PM