PETUGAS kesihatan menjalankan saringan COVID-19 keatas pekerja binaan warga asing hadir melalui Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO dengan kerjasama CIDB di Pusat Konvensyen CIDB Cheras. FOTO Rohanis Shukri
PETUGAS kesihatan menjalankan saringan COVID-19 keatas pekerja binaan warga asing hadir melalui Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO dengan kerjasama CIDB di Pusat Konvensyen CIDB Cheras. FOTO Rohanis Shukri
Amir Abd Hamid


KES baharu jangkitan Covid-19 hari ini mencatatkan lima kes iaitu menurun sekali ganda berbanding 10 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,663 kes.

Oleh itu, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 77 kes dan mereka sudah pun diasingkan serta diberi rawatan.

"Terdapat empat kes yang sudah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 8,465 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Daripada lima kes baharu yang dilaporkan hari ini, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang membabitkan dua warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang juga pemastautin tetap," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Berkenaan dua kes penularan di dalam negara katanya, mereka membabitkan warga tempatan iaitu daripada kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham berkata, tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini.

"Sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kedua-dua kes itu memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 5:37 PM