MUHAMMAD Hakim Amsyar. FOTO ihsan keluarga
MUHAMMAD Hakim Amsyar. FOTO ihsan keluarga
Safuri Kamarudin


"BIASANYA dia sangat periang dan aktif tetapi malam Jumaat tu dia nampak lain. Jadi pendiam," kata Mohd Kasturi Abdul Aziz, bapa kepada kanak-kanak yang maut tercekik rambutan di Kampung Belakang Masjid, Bukit Selambau, Baling, 3 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Muhammad Hakim Amsyar, 3, tercekik rambutan yang dikait bapanya.

Mohd Kasturi, 28, berkata, pada malam sehari sebelum kejadian, Muhammad Hakim Amsyar menunjukkan perubahan sikap.

"Saya tegur pun dia diam berbanding perangainya sebelum ini yang aktif," katanya yang ditemui di Kampung Keda Sadik, Kupang, Baling.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang mengait rambutan manakala Muhammad Hakim Amsyar bermain dengan abangnya, Mohd Adam Danish, 7.

"Sebelum itu arwah makan buah yang dikupas kami. Ibunya, Rashidah Abd Wahab, 27, turut mengupas rambutan untuk Amsyar.

"Kami pun tak sedar bila dia ambil rambutan dan mengupas sendiri sehingga tertelan," katanya ketika ditemui petang ini.

Mohd Kasturi berkata, dia menepuk belakang anaknya tetapi gagal mengeluarkan buah itu menyebabkan dia segera membawanya ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.

Mohd Kasturi berkata, arwah dikebumi di tanah perkuburan Islam Kampung Sadik jam 10 pagi semalam.

Berita berkaitan

Budak tiga tahun maut tercekik rambutan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:21 PM