PASAR Borong KL. FOTO Fathil Asri
PASAR Borong KL. FOTO Fathil Asri
Nurul Hidayah Bahaudin


SEMUA peniaga dan pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur akan memakai pakaian seragam mengikut jenis perniagaan bermula 10 Julai ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kaedah itu adalah untuk menjadikan suasana dalam pasar borong terbabit lebih kemas dan teratur serta mudah dikenal pasti kedudukan mereka.

"Pelesen dan pekerja akan dikenali melalui pemakaian baju berwarna hijau bagi perniagaan sayur, merah (buah) dan biru (ikan).

"Melalui pengenalan warna ini, ia akan dapat mengelakkan mereka yang tidak berkaitan berada di dalam kawasan yang tidak sepatutnya," katanya.

Katanya, peniaga dan pekerja yang tidak memakai pakaian seragam serta tidak mempunyai pas tidak akan dibenarkan masuk ke pasar borong itu bermula tarikh sama.

Difahamkan notis pemberitahuan berhubung perkara itu yang dilakukan atas arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur juga sudah dikeluarkan kepada pihak berkaitan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 7:19 PM