airi Mamat bersama rakannya ketika ditemui sedang melakukan aktiviti mendaki Gunung Lambak di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
airi Mamat bersama rakannya ketika ditemui sedang melakukan aktiviti mendaki Gunung Lambak di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim

GUNUNG Lambak di Kluang yang sebelum ini sepi sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) kini mula menjadi tumpuan khususnya kepada mereka yang menjalankan aktiviti riadah mendaki gunung.

Selepas kelonggaran melalui Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) tidak kurang 50 pendaki melakukan aktiviti pendakian samada secara individu mahupun berkumpul yang tidak melebihi 10 orang.

Tinjauan mendapati orang ramai menggunakan sepenuhnya kemudahan awam yang tersedia di pusat rekreasi Gunung Lambak ini untuk beriadah pada setiap petang walaupun kolam tempat mandi masih ditutup kepada umum.

Bagaimanapun, setiap kumpulan yang melakukan aktiviti riadah ini didapati tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain berada dalam kedudukan penjarakkan sosial dibenarkan ketika melakukan senaman.

Pengunjung, Hairi Mamat, 28, berkata, walaupun aktiviti beriadah serta mendaki gunung sudah mendapat keizinan namun orang ramai tidak harus mengabaikan setiap langkah pencegahan bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

"Selain memastikan kesihatan diri, kita juga harus patuhi semua ketetapan berkaitan pencegahan penyebaran wabak maut ini kerana ia penting untuk membolehkan kita menjalani kehidupan harian seperti biasa sebelum ini.

"Kita tidak mahu usaha pencegahan penyebaran wabak Covid-19 yang diusahakan melalui langkah diambil kerajaan sebelum ini menjadi sia-sia hanya kelalaian segelintir masyarakat dalam mematuhi SOP ditetapkan,"katanya.

Sementara itu, Musa Mohamad, 49, yang sering beriadah bersama isteri serta dua anaknya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan setiap kali melakukan aktiviti mendaki gunung itu.

"Ada juga yang naik secara berkumpulan dan saya akan menegur mereka sekiranya melanggar penjarakan sosial ketika mendaki disamping mengingatkan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 9:08 PM