GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

MAYAT nelayan ditemukan di dalam semak petang semalam, dipercayai akibat langgar lari beberapa jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Jamaludin Yusof, 39, dijumpai di kilometer 57, Penarik, di Bandar Permaisuri, pada 6.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan itu.

"Dipercayai kemalangan yang melibatkan mangsa ini telah berlaku beberapa jam sebelum mayatnya ditemukan. Mangsa mungkin telah dilanggar lari oleh kenderaan lain atau terbabas bersendirian.

"Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati terdapat kerosakan akibat kesan perlanggaran pada bahagian belakang motosikal dan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di Bandar Permaisuri, hari ini.

Afandi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:09 AM