X
LIM Cheah Yit, hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO DANIAL SAAD
LIM Cheah Yit, hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO DANIAL SAAD
Audrey Dermawan


PEGUAM Kanan Persekutuan di Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dua pertuduhan rasuah membabitkan RM500,000.

Lim Cheah Yit, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa meminta suapan RM500,000 daripada Goh Kim Heong iaitu sebagai dorongan untuk mempengaruhi Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang bagi menuduh Chan Eng Leong di mahkamah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam pusat karaoke di Gurney Paragon Mall, pada 8 malam, 8 Mac lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa menerima RM100,000 daripada Goh sebagai upah melakukan perkara yang dicadangkan itu di sebuah hotel di Bukit Gambir, pada 12.19 tengah hari, 1 Jun lalu.

Bagi kedua-dua perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Lim diwakili peguam Ang Chun Pun manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Moukzany Fariz Mohd Mokhtar dan Fairos Danial Mazlan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM di Putrajaya sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Lim dijangka menghadap satu lagi pertuduhan di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 11:36 AM