LAPORAN Harian Metro Ahad lalu
LAPORAN Harian Metro Ahad lalu
Nurul Hidayah Bahaudin


INDIVIDU yang membaling gelas ke arah anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Rakyat, Brickfields, di sini, Sabtu lalu, disahkan mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 24 tahun sedang menjalankan tugas kawalan lalu lintas di lokasi terbabit pada 5.50 petang.

"Tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali menjerit dan membaling gelas berisi air ke arah mangsa, namun dia sempat mengelak.

"Menurut mangsa, lelaki terbabit bertindak sedemikian kerana marah kerana anggota penguat kuasa itu memberi saman terhadap keretanya yang diparkir di tepi jalan.

"Malah, lelaki terbabit terus mendekati mangsa dalam keadaan marah sebelum mengalihkan keretanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap anggota penguat kuasa terbabit," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya tiba di lokasi dan menahan suspek berusia 37 tahun berkenaan selepas menerima maklumat daripada seorang petugas DBKL yang menghubungi pihak polis berhubung perkara itu.

"Hasil semakan dan siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah mental dan mempunyai rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Suspek kemudian diserahkan kepada keluarganya. Namun, kertas enkuari polis (KEP) sudah dibuka untuk siasatan lanjut dan menunggu pengesahan tahap kesihatan lelaki itu daripada pihak hospital," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak penguat kuasa untuk menjalankan tugas demi kesejahteraan komuniti setempat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah dinasihatkan untuk menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 0322979222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang penguat kuasa DBKL dibaling cawan dan diugut seorang lelaki yang berang keretanya dikompaun di Brickfields.

Berita berkaitan

href="https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/596753/padah-ugut-penguat-kuasa">Padah ugut penguat kuasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 12:04 PM