KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


LAPAN sekeluarga nyaris maut selepas kereta pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah jip dipandu seorang kontraktor dalam kemalangan di Jalan Permatang Tiga, Kepala Batas, malam tadi.

Dalam kemalangan 11.15 malam itu menyebabkan kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima panggilan berhubung kemalangan antara sebuah jip dan MPV yang dinaiki lapan sekeluarga.

"Melalui siasatan mendapati kemalangan ini dipercayai berlaku apabila pemandu jip, Muhamad Faiz Harun, 29, yang datang dari arah Kepala Batas menghala ke lampu isyarat Sg Lokan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Akibatnya berlaku pertembungan dengan sebuah MPV yang dipandu Ahmad Sukri Ishak, 40, dengan dalam kenderaannya terdapat tujuh ahli keluarganya terdiri tiga wanita dewasa termasuk seorang warga emas dan empat kanak-kanak perempuan.

"Kesemua penumpang berusia dalam lingkungan dua hingga 70 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu jip yang mengalami sakit dada dan kepala turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Lapan mangsa dalam MPV terbabit mengalami pelbagai kecederaan dan masih dalam rawatan yang mana dua daripadanya dirawat di zon merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 1:18 PM