37 ditahan dalam parti liar sambut hari lahir. FOTO Ihsan PDRM
37 ditahan dalam parti liar sambut hari lahir. FOTO Ihsan PDRM
Hassan Omar

SERAMAI 37 individu termasuk enam wanita dengan tiga daripada mereka warga Indonesia ditahan ketika meraikan parti liar sambutan hari lahir di sebuah rumah di taman perumahan di Pulau Sebang, Alor Gajah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 12.50 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah menyerbu rumah berkenaan.

"Mereka yang berusia antara 20 hingga 43 tahun menjalani ujian air kencing dan semuanya positif dadah dipercayai jenis methamphetamine.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai 16 pil ekstasi dan satu botol plastik kecil yang disyaki berisi dadah ketamin," katanya.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, mereka turut dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota masyarakat supaya tidak terbabit dalam kegiatan penagihan dadah dan parti liar seumpama itu.

Katanya, PKPP bukan tiket untuk anggota komuniti terbabit dalam perhimpunan terlalu ramai orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 1:34 PM