FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


ISU laporan tidak tepat oleh Al Jazeera berhubung dakwaan perkauman terhadap warga asing perlu diambil tindakan tegas termasuk mengusir mereka yang bermasalah dari negara ini.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Malaysia (Pembela) Mohd Noor Izzat Johari berkata, ini kerana mereka dikesan memberikan maklumat yang salah mengenai tindakan pihak berwajib sehingga menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, sebelum ini negara sudah dibebani pelbagai isu membabitkan kebanjiran warga asing termasuk rasa tidak selesa penduduk tempatan yang khuatir dengan keselamatan di tanah air sendiri.

"Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai tiga negara terbaik menangani Covid-19 dan semua maklum mengenai perkara itu. Malah ia juga dibuktikan dengan pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Siapa pula warga asing ini yang hendak mempersoalkan tugas pihak berwajib mengasingkan penduduk di satu-satu kawasan sebagai tindakan tidak wajar," katanya.

Tanpa menafikan Al Jazeera juga berkemungkinan mempunyai agenda, Mohd Noor Izzat berkata, perkara itu sudah diketahui kerna media antarabangsa lain juga sering melakukan provokasi terhadap Malaysia terutama isu membabitkan pelarian sebelum ini.

Menurutnya, laporan berkenaan perlu dijadikan pencetus semangat kepada agensi berwajib untuk terus menggempur warga asing yang melakukan kesalahan secara besar-besaran pada masa depan.

"Pembela akan menyokong usaha kerajaan memerangi warga asing seperti yang dilakukan sekarang. Sudah lama juga sebenarnya kita sebagai warganegara bersabar dengan pelbagai kerenah yang ditimbulkan mereka ini," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, warga asing sepatutnya membantu negara menangani pandemik Covid-19 dengan fakta, dan bukannya lari daripada keadaan sebenar.

Dokumentari terbitan Al-Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat itu mendapat reaksi kurang senang di kalangan rakyat negara ini, termasuk melancarkan boikot terhadap stesen televisyen terbabit di media sosial.

Berita berkaitan

href="https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/596844/laporan-al-jazeera-tid...">Laporan Al Jazeera tidak benar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 2:18 PM