X
HAMZAH Zainudin. FOTO arkib NSTP
HAMZAH Zainudin. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil serius dakwaan wujud isu perkauman terhadap warga asing ketika negara mengendalikan pendemik Covid-19 seperti yang dilaporkan saluran berita antarabangsa, Al Jazeera.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan lebih memihak kepada kehendak rakyat dan sudah pastinya rakyat mahu melihat semua orang tinggal di negara ini mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Dalam membangunkan negara, kita memang memerlukan tenaga kerja asing terutamanya yang hendak melakukan kerja berat bagaimanapun mereka perlu mengikut undang-undang negara.

"Mereka harus mempunyai permit serta dokumen yang sah dan sekiranya mereka mendakwa kerajaan begitu tegas atau garang, saya rasa itu memang dikehendaki rakyat.

"Rakyat mahukan kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan jadi kita jangan ambil tahu tentang media asing yang suka memutar belit cerita yang bukan-bukan," katanya pada sidang media Majlis Penerimaan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) di Pelabuhan Klang.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menafikan laporan saluran berita antarabangsa itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, laporan dokumentari itu tidak benar kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan Covid-19.

Menurutnya, langkah saringan yang dijalankan adalah tindakan bagi mengawal penularan wabak itu daripada terus menjangkiti orang lain.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai desas desus Pilihan Raya Umum (PRU) akan dijalankan dalam tempoh terdekat, Hamzah memaklumkan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu kerana saya bukan menteri kanan. Ia mungkin perbincangan antara menteri kanan dan Perdana Menteri.

"Sama ada ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat atau tidak, itu bukan agenda utama saya. Pada saya agenda utama adalah untuk memastikan rakyat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri serta Perikatan Nasional," katanya.

Berita berkaitan:

  • Bertegas dengan warga asing bermasalah
  • Malaysia bertindak terhadap Pati ikut undang-undang
  • Laporan Al Jazeera tidak benar
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:10 PM