MUHAMMAD Nurfarhan Hakimi (kiri) bersama adiknya, Muhamad Haffiz, menunjukkan gambar arwah bapa mereka, Hazman yang maut dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Beruas-Taiping, Beruas dekat Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MUHAMMAD Nurfarhan Hakimi (kiri) bersama adiknya, Muhamad Haffiz, menunjukkan gambar arwah bapa mereka, Hazman yang maut dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Beruas-Taiping, Beruas dekat Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

"EMAK beritahu dia sudah dapat rasa yang ayah sudah tiada apabila dimaklumkan berita sedih itu pagi tadi," kata Muhammad Nurfarhan Hakimi Hazman, 21, anak sulung Hazman Abdul Hamid, 47, yang maut selepas Proton Wira dipandunya bertembung Proton Preve di Kilometer 40 Jalan Beruas-Taiping, Beruas dekat Manjung, malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.40 malam itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Siti Nora Burhan, 48, cedera di tangan dan kaki.

Pemandu Proton Preve iaitu lelaki berusia 23 tahun pula cedera di kepala.

Muhammad Nurfarhan berkata, ibunya dibenarkan pulang ke rumah pagi tadi selepas mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM).

"Alhamdulillah emak sudah dalam keadaan baik cuma masih lemah. Malam tadi emak bertanyakan ayah dan ahli keluarga beritahu ayah ada.

"Pagi tadi baru kami beritahu emak yang ayah sudah tiada dan emak cakap dia sudah dapat rasa perkara itu sebab ayah tidak datang jumpanya.

"Bagaimanapun, emak reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSM hari ini.

Katanya, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beruas hari ini.

Berita berkaitan

Lelaki maut, isteri parah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:36 PM