ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas menyelamatkan mangsa terperangkap di sebuah taska di Jalan Bina 1, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO ihsan Bomba Johor
ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas menyelamatkan mangsa terperangkap di sebuah taska di Jalan Bina 1, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


Seorang guru wanita berusia 26 tahun berdepan detik cemas selepas terperangkap di dalam premis taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Jalan Bina 1, Bandar Seri Alam, dekat sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Sharol Suboh berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 7.19 pagi, pihaknya menggerakkan sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa terperangkap di dalam premis berkenaan.

"Dalam kejadian itu, guru berkenaan hadir bagi membuat persiapan sebelum kelas bermula dan mengunci pintu sebelum ketibaan kanak-kanak.

"Apabila kanak-kanak sampai dan ingin membuka mangga pintu, mangsa tidak berjaya membukanya disebabkan mangga pintu rosak.

"Guru terbabit menghubungi bomba mendapatkan bantuan. Bomba mengambil masa lima minit untuk membuka pintu mangga itu dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya keluar dalam keadaan selamat selain operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 7.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:57 PM