X
ABDUL Hamid Bador. FOTO Bernama.
ABDUL Hamid Bador. FOTO Bernama.
BERNAMA

SEGALA bentuk tindakan yang diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini adalah atas keperluan keselamatan dan kesihatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, semua negara di dunia tidak akan membiarkan Pati bebas tanpa kawalan terutama ketika berdepan wabak termasuk pandemik Covid-19.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membantu Jabatan Imigresen dalam menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PDRM juga akan terus melipatgandakan usaha mengawal sempadan darat dan laut daripada terus dibolosi Pati, pada masa sama memastikan tiada penganiayaan terhadap Pati yang ditangkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang diterbitkan oleh agensi berita asing Al Jazeera.

Beliau turut menegaskan laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita itu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap Pati adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh PDRM.

Bernama difahamkan satu laporan polis sudah dibuat oleh Jabatan Imigresen berhubung perkara itu.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap Pati ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menyelamatkan orang ramai daripada Covid-19 tanpa mengira warga negara atau bukan warga negara.


Berita berkaitan:

  • 'Saya cabar Al Jazeera' [METROTV]
  • Rakyat mahu kerajaan tegas terhadap PATI
  • Bertegas dengan warga asing bermasalah
  • Malaysia bertindak terhadap Pati ikut undang-undang
  • Laporan Al Jazeera tidak benar
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:43 PM