ANTARA kenderaan yang diletakkan di tempat parkir Blok 41, PPR Gombak Setia, Kuala Lumpur, yang musnah dan rosak akibat kebakaran, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA kenderaan yang diletakkan di tempat parkir Blok 41, PPR Gombak Setia, Kuala Lumpur, yang musnah dan rosak akibat kebakaran, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


"KERETA itu adalah satu-satunya kenderaan untuk kegunaan kami sekeluarga dan kini seolah-olah 'patah kaki' untuk ke mana-mana," kata S Arivindran, 22.

Dia antara pemilik kenderaan yang rosak dan musnah dalam kebakaran membabitkan 53 motosikal serta lapan kereta di kawasan letak kereta di Blok 41, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, hari ini.

Arivindran berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum dikejutkan adik perempuannya yang memaklumkan kejadian itu kira-kira 4 pagi.

"Saya terus bergegas ke kawasan parkir untuk mengalihkan kereta Proton Saga FLX milik ibu, namun tidak berjaya kerana api sedang marak.

"Melihat kenderaan itu terbakar, saya rasa amat sedih kerana ia satu-satunya kereta kami untuk ke mana-mana," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

S Arivindran, 22. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
S Arivindran, 22. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Dia yang juga pelajar Politeknik Port Dickson berkata, kereta itu juga digunakannya sebagai mata pencarian bagi membantu ibunya dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing separuh masa.

"Pada hujung minggu atau cuti semester, saya akan pulang ke rumah untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing bagi membantu ibu menambah pendapatan.

"Namun, kejadian ini menyebabkan kami kehilangan satu-satunya kereta yang dimiliki untuk urusan harian. Selepas ini, kami terpaksa bergantung kepada ihsan saudara-mara atau rakan bagi meminjam kenderaan mereka jika mahu ke mana-mana," katanya.

Katanya, penduduk mendakwa kebakaran itu dipercayai ada kaitan dengan perbuatan khianat.

"Ada penduduk mendakwa terdengar pergaduhan sebelum diikuti dengan bunyi letupan. Saya difahamkan kebakaran bermula daripada sebuah motosikal di bahagian hujung sebelum ia merebak.

"Buat masa ini, semua penduduk (pemilik kenderaan) yang terbabit dalam kejadian ini menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Penduduk lain Mohd Shafiq Hazad Syukor, 28, berkata dia tidak sempat untuk menyelamatkan dua motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi miliknya yang diletakkan di lokasi terbabit.

MOHD Shafiq Hazad Syukor, 28. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
MOHD Shafiq Hazad Syukor, 28. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

"Ketika kejadian, ada rakan menghubungi pada 4.30 pagi memaklumkan kebakaran itu sebelum saya bergegas turun untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik tiba di parkir, saya melihat api sedang marak dan mahu mengalihkan kereta yang terbakar di bahagian belakang ketika itu.

"Bagaimanapun, kereta saya tiba-tiba meletup dan api semakin marak. Saya bernasib baik apabila sempat mengelak daripada letupan itu," katanya.

Katanya, dia mengalami kerugian kira-kira RM60,000 apabila dua motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha Lagenda 115 serta kereta Perodua Myvi musnah dalam kejadian itu.

"Saya amat sedih dengan kejadian ini kerana semua kenderaan itu lenyap dalam sekelip mata," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk PPR Gombak Setia Khir Nasaruddin Mohd Khir berkata, pihaknya memohon bantuan pihak berkaitan untuk meringankan beban penduduk yang kehilangan kenderaan dalam kebakaran terbabit.

"Penduduk yang terjejas mengadu mereka tidak dapat ke mana-mana termasuk ke tempat kerja kerana satu-satunya kenderaan dimiliki rosak serta musnah dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:55 PM