GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

BEKAS ketua akaun di sebuah syarikat pengangkutan swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 123 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM5,502,414 dengan meniru tandatangan pengarah syarikat itu sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh, Teo Chee Peng, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hasbullah Adam bermula 11 pagi sehingga 1 tengah hari.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 21 Julai untuk menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai ketua akaun syarikat ketika itu didakwa melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan 123 cek berjumlah RM5,502,414 kepada syarikat Revolusi Angkasa Sdn Bhd dengan meniru tandatangan pengarah syarikat iaitu Yap Choon Lai, 64.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan 1/46A Off Jalan Selinsing 7, Taman Niaga Waris di sini antara 12 Mei 2012 sehingga 17 Mac ini mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah memohon satu tarikh lain untuk pihaknya menyediakan fakta kes sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

"Bagi kes ini, saya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin dan membabitkan pertuduhan yang banyak," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan Teo yang diwakili peguam Tia Poh Yew diikat jamin dan dia kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:17 PM