FRANKIE Poon Ming Fung. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
FRANKIE Poon Ming Fung. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman

SUSULAN kemunculan wabak Bubonik yang dilaporkan di China, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan membuat penelitian lanjut berhubung penyakit berkenaan.

Menterinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, beliau sendiri mengetahui perkara itu melalui berita dan belum menerima sebarang butiran lanjut mengenainya.

Bagaimanapun, pihaknya sudah meminta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk meninjau perkembangan wabak baru berkenaan.

"Berhubung wabak Bubonik, saya ada baca melalui berita. Jadi saya ada meminta Pengarah JKNS membuat tinjauan dan penelitian lanjut berhubung isu berkenaan.

"Kita akan buat persediaan. Sebab kerajaan ada mengumumkan membenarkan pekerja dari China masuk bekerja dan akan membuka sektor pelancongan kelak.

"Pihak saya sangat mengambil berat isu ini dan sentiasa prihatin terhadap kesihatan rakyat Sabah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyaluran Bantuan Covid-19 kepada Ibu Tunggal di Sandakan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedia berhadapan wabak berkenaan dan akan mengambil langkah terbaik bagi mengekangnya.

Terdahulu, satu wabak terbaru iaitu wabak Bubonik dilaporkan muncul di utara China selepas dua individu dikesan menghidapi penyakit berkenaan.

Dua individu itu dilaporkan dijangkiti penyakit berkenaan selepas memakan Marmot iaitu sejenis haiwan dari spesis tupai.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberikan amaran penyakit itu boleh membunuh dalam tempoh 24 jam jika tidak dirawat.

Sementara itu, mengulas lanjut isu penyakit polio di Sabah, beliau berkata, petugas kesihatan berdepan cabaran memberikan vaksin polio sejak wabak Covid-19 melanda negara.

"Sebelum ini sekolah dibuka dan kita ada tempat sesuai di sekolah untuk memberikan vaksin polio.

"Tapi sekarang sekolah masih tutup sedangkan sasaran kita adalah murid sekolah randah.

"Justeru, kita ada buat perbincangan dengan beberapa sekolah agar menyediakan tempat di sekolah mereka supaya vaksin polio dapat diberikan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat empat kes polio di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:24 PM