Hasni Mohammad. FOTO IHSAN PEJ MB
Hasni Mohammad. FOTO IHSAN PEJ MB
Oleh Omar Ahmad


KERAJAAN negeri Johor berharap perbincangan pembukaan sempadan Johor-Singapura diperluaskan kepada pekerja berulang alik antara dua negara.

Difahamkan perbincangan pembukaan sempadan Johor-Singapura ketika ini lebih menjurus kepada kategori pertama iaitu sektor bisnes, profesional dan peribadi.

Kategori kedua pula membabitkan 25,000 rakyat negara ini yang masih berada di negara itu ekoran penutupan sempadan kerana penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pembukaan sempadan itu juga dilihat boleh menjana semula sektor pelancongan negeri.

"Selain itu usaha untuk meningkatkan penambahbaikan dalam sektor pelancongan ini juga amat penting bagi negeri ini kerana itu dengan adanya pembukaan kepada sempadan antara Johor-Singapura ini adalah satu langkah yang sangat penting kepada Johor.

"Mungkin pada awal ini ia membabitkan program yang dinamakan 'Green Lane' dan juga 'Periodic Commuters' ini membabitkan lebih 20,000 rakyat Malaysia di Singapura untuk balik dan pulang semula ke Singapura untuk bekerja.

"Tetapi negeri kita Johor merasakan bahawa persetujuan Malaysia dan Singapura untuk pekerja yang berulang alik harian perlu juga disegerakan kerana itu dapat memberi kesan yang meluas bukan sahaja bercakap tentang soal kadar pengangguran yang meningkat di Johor, mereka yang hilang pekerjaan juga mencecah hingga 200,000 jadi ini satu perkara yang harus kita tangani segera untuk membolehkan kita meningkatkan dari segi sektor pelancongan ini", katanya pada sidang media selepas Mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) di Hotel Jen, Iskandar Puteri, semalam.

Sebelum ini, Menteri Luar Negara Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien menyatakan rundingan pembukaan pintu sempadan akan dibuka secara berperingkat bermula kepada kategori satu dan dua.

Manakala bagi kategori tiga membabitkan lebih ramai jumlah individu ulang alik sempadan perlu dipertimbangkan kerana lebih kompleks dan memerlukan pembukaan sepenuhnya sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:29 PM