HAMID (dua dari kiri) melawat kebun cili milik Mohd Zainuddin di Kampung Pechah Rotan, Batu Rakit sebelum banduan di pusat berkenaan diajar cara penanaman tanaman itu. FOTO Malik Muhamad
HAMID (dua dari kiri) melawat kebun cili milik Mohd Zainuddin di Kampung Pechah Rotan, Batu Rakit sebelum banduan di pusat berkenaan diajar cara penanaman tanaman itu. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


BAGI memastikan banduan dibebaskan mampu berdikari apabila kembali dalam pangkuan masyarakat, Pusat Koreksional Dungun berusaha memberi pendedahan pelbagai ilmu bermanfaat termasuk bidang pertanian.

Pengarah Pusat Koreksional Dungun, Penolong Komisioner Penjara, Hamid Taha berkata, selain berkaitan ilmu agama, banduan didedahkan dalam pelbagai bidang bersesuaian termasuk bidang penanaman cili yang boleh menjana pendapatan mereka selepas dibebaskan.

Beliau berkata, pihaknya berperanan memulih dan memberi ilmu bermanfaat kepada banduan semasa mereka menjalani hukuman supaya menjadi insan berguna, berdikari dan produktif apabila kembali ke pangkuan masyarakat.

"Oleh itu, lawatan kami di kebun cili milik Mohd Zainuddin Abdullah di Kampung Pechah Rotan, Batu Rakit, Kuala Nerus ini bertujuan untuk mempelajari ilmu dan teknik penanaman cili.

"Lebih-lebih lagi, di kebun ini ada seorang pakar iaitu Tengku Mohd Adlan Tengku Musa yang pernah berkursus di Jepun selama setahun dalam bidang pertanian dan ilmu beliau serta pengusaha kebun cili ini akan dikongsi kepada banduan yang berada dalam penjara yang kebanyakannya berasal dari kampung.

"Sebahagian banduan ini akan bercucuk tanam sebelum mereka bebas dan sebagai aktiviti pemulihan.

"Projek tanaman bakal dimulakan pada bulan depan ini turut mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dan Pejabat Pertanian Dungun," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zainuddin berkata idea jabatan itu adalah usaha murni dan dia sedia memberi kerjasama bagi menjayakan projek berkenaan.

"Saya dan Tengku Adlan sedia memberi khidmat nasihat kepada jabatan berkenaan berkaitan tanaman itu apatah lagi keuntungannya lumayan jika tanaman berkenaan menjadi," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 9:18 PM