LELAKI tempatan dan empat warga Indonesia menjadi tali barut menguruskan kemasukan warga asing ke negara ini ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jeti Seng Lee, Sekinchan, hari ini. FOTO ihsan PGA.
LELAKI tempatan dan empat warga Indonesia menjadi tali barut menguruskan kemasukan warga asing ke negara ini ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jeti Seng Lee, Sekinchan, hari ini. FOTO ihsan PGA.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI warga tempatan yang menjadi 'tali barut' menguruskan kemasukan warga asing ke negara ini ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jeti Seng Lee, Sekinchan, Sabak Bernam, hari ini.

Menerusi Op Benteng Covid-19 itu, turut ditahan tiga lelaki warga Indonesia dipercayai tekong laut dan dua lelaki warga Indonesia yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki warga tempatan berusia 32 tahun itu adalah nelayan di kawasan sekitar dan melakukan perkhidmatan membawa masuk Pati.

"Mereka didapati menggunakan bot nelayan untuk membawa masuk Pati ke negara ini.

"Polis merampas bot nelayan pukat tunda kelas B bersama enjin, dua pukat tunda, satu telefon pintar dan wang tunai rupiah Indonesia berjumlah RP1.2 juta (RM355)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sekinchan bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6930 Akta Imigresen 1962.

Katanya, masyarakat digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama kes jenayah serta penyeludupan manusia dan bahan terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 9:58 PM