X
BUMBUNG sekolah yang rosak dipukul ribut, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
BUMBUNG sekolah yang rosak dipukul ribut, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Samadi Ahmad


SEBANYAK 30 rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Dengkil, Sepang rosak akibat dilanda ribut, 7 malam tadi.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat mengakibatkan atap rumah penduduk rosak dan banyak pokok tumbang.

Angin kencang turut merosakkan bumbung dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Merab dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sungai Merab.

Kejadian itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun yang melawat kawasan berkenaan 11.45 malam tadi.

Rina berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu menyebabkan banyak pokok tumbang dan atap rumah penduduk rosak diterbangkan angin.

Beliau berkata, pihaknya memohon bantuan daripada Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi membantu penduduk dan menyelesaikan masalah pokok tumbang.

"Saya mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas bagi meringankan beban mereka.

"Alhamdulillah, daripada maklumat diterima mengesahkan tiada mangsa cedera akibat ribut berkenaan," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Merab Luar, Mohamad Aris Said.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 10:25 PM