X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS memulakan siasatan berhubung laporan agensi berita antarabangsa Al Jezeera yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari mengenai cara negara ini mengendalikan pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menjalankan siasatan susulan laporan dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

"Kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Bernama.

Siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan dibuat seorang wanita berhubung isu sama di Putrajaya pada 9 pagi hari ini.

Menurutnya, pengadu membuat laporan selepas menonton video dokumentari itu di laman YouTube dan keterangannya sudah diambil.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap Pati ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19..

Bernama hari ini melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata laporan yang dikeluarkan agensi berita itu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap Pati adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan PDRM.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu agensi berita antarabangsa itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar dan mengelirukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 10:31 PM