GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


KLANG menjadi daerah kelima di Selangor berada dalam kategori zon hijau apabila tiada lagi kes aktif Covid-19 direkodkan sehingga 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, daerah itu merekodkan satu kes aktif kelmarin dan secara keseluruhan sebanyak 190 kes.

Klang antara daerah yang merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi selepas Hulu Langat dengan 631 kes, Petaling (437) dan Gombak (260).

"Satu prestasi yang baik untuk Selangor namun perlu norma baharu dan jangan berasa terlalu selesa supaya Covid-19 tidak meletus semula," katanya.

Selain Klang, empat daerah lain yang berada di zon hijau adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Sehingga kini, hanya empat daerah yang masih berada di zon kuning tetapi dengan jumlah kes aktif yang rendah serta berpotensi untuk berada zon hijau iaitu Gombak, Sepang serta Petaling.

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan 2,062 kes Covid-19, yang mana 1,879 daripadanya adalah kes sembuh dan 24 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:40 AM