MUHAMMAD AMRAN AZIZAN
MUHAMMAD AMRAN AZIZAN
Mahaizura Abd Malik


SELEPAS empat bulan terkandas di tanah air, rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi akhirnya menarik nafas lega apabila mendapat kebenaran untuk kembali bekerja di negara berkenaan.

Sukarelawan komuniti rakyat Malaysia di Arab Saudi Muhammad Amran Azizan berkata, kepulangan mereka diatur dalam dua penerbangan khas dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Saudi Airlines.

Katanya, daripada 600 orang jumlah keseluruhan jururawat, hanya 466 individu pulang melalui penerbangan khas itu.

"Seramai 230 orang sudah selamat tiba di Arab Saudi pada 3 Julai lalu manakala 236 lagi akan berangkat dalam masa terdekat.

"Selebihnya 134 orang lagi akan menyusul kemudian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amran yang bertugas selama empat tahun di sebuah hospital di Riyadh berkata, setibanya di sana, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari yang dikendalikan majikan masing-masing.

"Ia antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

"Semua jururawat sudah dimaklumkan supaya mematuhi SOP ditetapkan termasuk semasa penerbangan," katanya.

Menurutnya, mereka menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam membantu kelancaran pulang kumpulan jururawat ini.

"Kami gembira dan tidak sabar untuk memulakan tugas masing-masing selepas melalui pelbagai dugaan ketika terkandas.

"Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Saudi Airlines kerana kerjasama mereka, kami dapat pulang untuk meneruskan tugas masing-masing.

"Selain itu, penghargaan juga kepada kerajaan Malaysia terutama Wisma Putra dan Jabatan Imigresen kerana prihatin memberi kebenaran pelepasan khas ini," katanya.

Muka depan Harian Metro pada 27 Jun lalu mendedahkan kesulitan kira-kira 600 jururawat Malaysia yang bekerja di Arab Saudi terkandas di sini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, 18 Mac lalu.

Ia turut mendapat perhatian Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengadakan perbincangan dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan berhubung isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 3:24 PM