Rosyahaida Abdullah

LEBIH 80,000 botol minuman kordial Ribena diedarkan secara percuma kepada pembaca Harian Metro mulai hari ini sempena sambutan ulang tahun ke-29 akhbar itu yang disambung semula selepas tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Program agihan dimulakan di pekarangan Balai Berita The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Jalan Riong di sini membabitkan 1,500 naskhah yang menawarkan sebotol Ribena 600 ml secara percuma bagi pembelian setiap naskah Harian Metro bernilai RM1.50.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, agihan itu adalah sebahagian inisiatif akhbar menghargai kesetiaan pembaca terhadap jenama Harian Metro sepanjang 29 tahun menjadi wadah berita buat rakyat.

"Program ini sudah bermula pada Mac lalu sebelum PKP dilaksanakan namun terpaksa ditangguhkan jadi kita mulakan kembali projek ini di sini (Balai Berita Jalan Riong) sebagai simbolik pelancaran tidak rasmi.

"Serentak agihan di sini, kita juga lakukan perkara sama di seluruh Semenanjung sejak semalam khusus untuk pembaca bermula di zon timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga 19 Julai ini.

"Selain berterima kasih kepada pembaca yang kekal menyokong Harian Metro, kita juga berharap inisiatif ini dapat mendekatkan lagi jenama akhbar kami dengan segenap lapisan masyarakat," katanya.

KAKITANGAN Media Prima Berhad membeli akhbar Harian Metro bagi mendapatkan kordial Ribena 600ml secara percuma sempena ulang tahun Harian Metro ke-29 di Balai Berita Bangsar.FOTO Rohanis Shukri
KAKITANGAN Media Prima Berhad membeli akhbar Harian Metro bagi mendapatkan kordial Ribena 600ml secara percuma sempena ulang tahun Harian Metro ke-29 di Balai Berita Bangsar.FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, Pengurus Pengedaran NSTP, M Prakash berkata, program terbabit lanjutan daripada inisiatif sama yang sudah dilaksanakan awal Mac lalu hasil kerjasama Ribena yang berbesar hati menyumbang 100,000 botol minuman kordial itu sebelum ini.

"Kira-kira 15,000 (botol) sudah diagihkan Mac lalu dan kini kita kembali mengedarkan bakinya menerusi 'soft launch' (pelancaran tidak rasmi) bermula di sini (Balai Berita Jalan Riong) sebanyak 1,500 dan Sri Pentas (Bandar Utama, Damansara) esok juga sebanyak 1,500 botol khusus untuk kakitangan dan komuniti sekitar premis.

"Untuk mendapatkan minuman kordial Ribena ini, pembeli hanya perlu mengimbas kod QR dan mendaftar maklumat sebagai mana diminta. Setiap nama yang didaftar hanya boleh membeli senaskah Harian Metro untuk mendapatkan minuman kordial ini yang dianggarkan bernilai RM10 sebotol jika dibeli di luar.

"Kita mulakan agihan pada jam 9 pagi pada hari ini (di Balai Berita Jalan Riong) dan esok (di Sri Pentas Bandar Utama) sehingga stok habis khusus untuk kakitangan Media Prima Berhad (MPB) serta komuniti sekitar," katanya ketika ditemui di lokasi agihan terbabit, hari ini.

Agihan sama akan turut dibuat di zon tengah iaitu Selangor pada 20 Julai hingga 2 Ogos nanti diikuti Kuala Lumpur bermula 3 hingga 16 Ogos 2020.

Manakala pembaca di zon selatan akan diraikan menerusi agihan Ribena itu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada 17 hingga 30 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:41 PM