SERAMAI 28 individu termasuk sembilan warga China terbabit dengan sindiket judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO ihsan polis.
SERAMAI 28 individu termasuk sembilan warga China terbabit dengan sindiket judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan 28 individu termasuk sembilan warga China yang terbabit dengan sindiket judi dalam talian dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, hasil maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu lokasi terbabit pada 8 malam.

"Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati sekumpulan lelaki dan wanita warga China sedang menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

"Pemeriksaan mendapati semua suspek berusia 20 hingga 33 tahun adalah pekerja di premis terbabit dan menguruskan kemasukan wang dari pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Mokhsein berkata, polis merampas 69 telefon pintar, wang tunai RM20,000, lima unit komputer dan pelbagai peralatan lain digunakan untuk kegiatan perjudian dalam talian.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu.

"Semua perhubungan antara pelanggan dan ahli sindiket adalah melalui laman web khas dan sasaran pelanggan adalah dari China.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:05 PM