GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


AKIBAT menipu dalam skim pelaburan, seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas Hernaniee Mohd Yusoff, 33, dari Kuala Lumpur selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 8.23 pagi hingga 11.11 malam di antara 24 Januari hingga 5 Mac 2019 bertempat di Taman Meranti, Bahau didapati menipu Muhammad Hanif Bachok, 33, dengan memperdayakannya bahawa tertuduh dapat memberi pulangan pelaburan skim 'The Canadian Trade Commissioner Service (TCTCS).

Oleh itu, tertuduh mendorong lelaki berkenaan menyerahkan wang tunai berjumlah RM23,650 di antara 24 Januari hingga 5 Mac 2019 menerusi 37 transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank atas nama TCTS Enterprises yang didaftar atas nama tertuduh.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mempelawa lelaki berkenaan menyertai skim pelaburan itu pada 15 Disember 2018 menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, selepas membuat 37 pindahan wang, lelaki berkenaan masih belum mendapat pulangan seperti dijanjikan dan merasa sudah ditipu sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hishami manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:27 PM