X
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

HUJAN lebat beberapa jam di Tasek Junjong petang semalam, menyebabkan kawasan itu banjir kilat dan menyebabkan 31 penduduk di situ, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Tasek Junjong, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, kesemua mereka terdiri daripada 18 keluarga itu mula dipindahkan ke PPS Masjid Tasek Junjong bermula 10 malam tadi selepas air memasuki rumah hingga paras 0.5 meter.

"Hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini terutama Tasek Junjong sejak 5 petang semalam dan ia berlarutan hingga malam tadi, menyebabkan 18 buah rumah yang terletak berhampiran sungai di situ dinaiki air banjir.

"Penduduk mula dipindahkan ke kawasan PPS bermula 10 malam tadi, selepas air banjir yang memasuki rumah mereka tidak surut dan berbahaya kepada mereka," katanya, hari ini.

Katanya semua mangsa banjir termasuk seorang bayi perempuan, berada dalam keadaan sihat.

Ketika ini cuaca mendung dan kadang kala hujan renyai-renyai.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 8:56 AM