X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

AKIBAT mengugut ibu dengan parang, penoreh getah dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman ke atas A Jamalli A Jalil, 36, dari FELDA Palong Tujuh, Jempol selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, A Jamalli melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan parang sambil mengeluarkan kata-kata ugutan kepada ibunya di hadapan rumah di FELDA Palong Tujuh pada 7.30 malam 31 Mac lalu dan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta duit daripada ibunya untuk membeli dadah namun tidak dilayan.

Tertuduh tiba-tiba mengamuk dan mengambil parang dan mengacukan kepada ibunya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga menyebabkan ibu tertuduh ketakutan.

Ibu tertuduh kemudian membuat laporan polis pada 1 April 12.30 tengah malam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 12:30 PM