X
Ruwaida Md Zain


DUA premis dipercayai menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang mencuri bekalan elektrik diserbu Suruhanjaya Tenaga di sekitar kawasan pusat komersial di Taman Pendamar Indah di Pelabuhan Klang, hari ini.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Shafie Mohamed berkata, operasi bersepadu bersama Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dijalankan susulan risikan selama sebulan.

"Kita dapati memang ada penggunaan elektrik secara curang di mana premis ini tidak menggunakan meter sebaliknya sambung terus ke premis, mereka guna elektrik tanpa bayaran.

"Ia kes pertama di kawasan ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Jumlah kerugian (elektrik yang dicuri) dianggarkan sebanyak RM30,000 bagi satu premis dalam sebulan.

"Suruhanjaya Tenaga akan siasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 di mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda dan penjara," katanya pada sidang media selepas Ops Bitcoin di Pelabuhan Klang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin.

Shafie berkata, operasi itu juga melihat kepada kepentingan keselamatan elektrik.

"Kalau guna elektrik tidak melalui kelengkapan sepatutnya, perlindungan serta aspek keselamatan, ia akan membahayakan pengguna dan orang awam.

Pegawai TNB melakukan pemeriksaan penyambungan elektrik haram ketika Ops Bitcoin oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di premis perniagaan One Kesas, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Pegawai TNB melakukan pemeriksaan penyambungan elektrik haram ketika Ops Bitcoin oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di premis perniagaan One Kesas, Klang. FOTO FAIZ ANUAR

"Ia boleh menyebabkan gangguan bekalan di kawasan sekitar kerana penggunaan elektrik berlebihan dari yang ditetapkan dan jika lebihan beban ia boleh menyebabkan kebakaran premis. Perkara ini tidak boleh dilakukan, pengguna kena ikut saluran betul, kita dapati ada kabel disambung secara persendirian," katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK akan menyita semua barang dan peralatan di premis yang diserbu itu mengikut Undang-Undang Kecil 3 (Perlesenan Tred, Perlesenan dan Perindustrian) MPK 2007.

"MPK juga akan membantu siasatan bagi mengenalpasti pemilik premis ini dan maklumat akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga dan TNB untuk siasatan dan tindakan undang-undang selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 1:28 PM