POLIS membuat siasatan di rumah sewa seorang jurutera yang ditemui meninggal dunia di Taman Makmur, di sini. FOTO ihsan PEMBACA
POLIS membuat siasatan di rumah sewa seorang jurutera yang ditemui meninggal dunia di Taman Makmur, di sini. FOTO ihsan PEMBACA
Nor Farhani Che Ad


JURUTERA ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Taman Makmur Sungai Petani, hari ini.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di bahagian dapur ketika rakan sekerja serta majikannya ke rumah berkenaan pada 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa baru bekerja di sebuah kilang di Gurun 2 Mac lalu dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan manakala keluarganya berada di Kuala Lumpur.

"Kejadian disedari apabila mangsa lambat hadir ke tempat kerja sebelum rakan sekerjanya menelefon mangsa beberapa kali, namun, tidak dijawab.

"Berikutan itu, rakan sekerja serta majikan mangsa ke rumah mangsa sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri di lantai dapur rumahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, menurut rakan mangsa, pintu besi rumahnya dalam keadaan berkunci ketika mereka sampai di rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan darah di lantai tempat mangsa ditemui, dan disahkan dari hidung dan mulut mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan, kira-kira jam 9 pagi.

"Kemungkinan mangsa mengalami serangan jantung. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 5:15 PM