Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menahan enam lelaki termasuk tekong dipercayai pendatang asing tanpa izin menerusi Op Benteng Laut 1/2020 yang dijalankan di perairan Johor Timur, petang semalam. FOTO IHSAN APMM
Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menahan enam lelaki termasuk tekong dipercayai pendatang asing tanpa izin menerusi Op Benteng Laut 1/2020 yang dijalankan di perairan Johor Timur, petang semalam. FOTO IHSAN APMM
Oleh Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan enam lelaki termasuk tekong dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Op Benteng Laut 1/2020 di perairan Johor Timur, Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata sebuah bot kayu atau lebih sinonim dengan nama 'teksi air' dari Indonesia yang membawa kesemua individu turut ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 7.5 batu nautika timur Tanjung Lompat, di sini, kira-kira jam 1.50 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, seorang tekong dan kru ditahan bersama empat penumpang yang kesemuanya warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 43 tahun di atas bot berkenaan.

"Akuan awal semua penumpang ketika ditahan menyatakan mereka dalam perjalanan dari sebuah kapal tangki untuk bekerja namun apabila disiasat kapal terbabit tiada di tempat yang dinyatakan.

"Kesemua mereka yang ditahan sudah diperiksa untuk saringan kesihatan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 44(3) Akta Kastam 1967 kerana membawa penumpang tanpa manifest yang sesuai baginya, Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara selama setahun bagi Akta Kastam 1967.

"Bagi Akta Imigresen 1959/63 tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.

"Maritim Malaysia amat serius dalam memastikan perairan negara sentiasa dilindungi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk diambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 5:46 PM