ROSHAYATI Shamsuddin dibantu suaminya, Ahmed Lokman Umar menyiapkan tempahan kek cawan yang ditempah pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
ROSHAYATI Shamsuddin dibantu suaminya, Ahmed Lokman Umar menyiapkan tempahan kek cawan yang ditempah pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang wanita yang dulu hanya menjual pisang goreng, namun dia kini mampu bergelar usahawan makanan.

Roshayati Shamsuddin, 47, berkata, kehidupannya berubah selepas menyertai program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2016 yang sebelum ini sudah tiga tahun menjual pisang goreng untuk membantu meringankan beban keluarga.

Ibu kepada empat anak yang berusia antara 11 hingga 23 tahun ini berkata, pengalaman yang ditimba melalui kursus makanan bawah kendalian ECER selama enam bulan yang menyediakan 30 modul membolehkannya menterjemahkan ilmu berkenaan ke dalam perniagaannya yang diusahakan kini.

"Sewaktu berniaga pisang goreng, saya hanya mampu meraih pendapatan RM700 sebulan, namun selepas menyertai latihan empower ECER, saya menjual pelbagai produk makanan termasuk kek cawan, kerepek, kuih-muih, tempahan makanan, saya kini mampu memperoleh pendapatan bulanan mencecah ribuan ringgit.

"Sehingga kini saya mengeluarkan lebih 50 produk makanan menggunakan jenama keluaran sendiri yang turut mendapat permintaan daripada masyarakat di Singapura," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Taman Desa Mustakim, Padang Raja, Melor, Kota Bharu.

Roshayati berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu, disifatkan sebagai pembuka rezeki buatnya kerana mampu meraih pendapatan sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini kerana mendapat permintaan tinggi.

"Pada kebiasaannya, saya hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun ketika PKP ia berlipat kali ganda dan tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

"Setiap kali menyiapkan tempahan pelanggan, saya akan dibantu oleh suami, Ahmed Lokman Umar, 49, yang juga pesara tentera," katanya.

Tambahnya yang menjalankan perniagaan dalam talian di laman sosial Facebook,dia juga tidak melepaskan peluang yang ada memandangkan kini semuanya di hujung jari.

"Berniaga pada masa kini tidak sama macam dulu, tanpa memerlukan kedai dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Apa yang penting adalah rajin dan bijak bahagikan masa terutama sekiranya kita adalah suri rumah.

"Syukur, kini semuanya membuahkan hasil. Daripada menjual pisang goreng di tepi jalan, kini saya mampu bergelar usahawan makanan tanpa melakukan sebarang pinjaman kewangan daripada institusi perbankan.

"Namun, saya juga ingin berterima kasih kepada ECER yang memberi latihan selain Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membantu menyumbang peralatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:10 PM