X
Safeek Affendy Razali


TIGA lelaki dipercayai dalang kepada satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang ditahan dalam tiga serbuan berasingan sejak 3 Julai lalu.

Penahanan ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 28 hingga 35 tahun itu sekali gus mematikan satu rangkaian kegiatan pembekalan dadah sindiket itu kepada pengedar kecil-kecilan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat yang diterima pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Sentul, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di tepi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sekitar 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

"Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu dianggarkan seberat 500 gram dalam kereta suspek sebelum membawa kepada pemeriksaan ke satu unit kediaman di sebuah kondominium di Jalan Metro Perdana, Kuala Lumpur.

"Dalam pemeriksaan itu, polis kemudian menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 300 gram dan wang tunai sebanyak RM1,300," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

MAZLAN (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media hari ini. FOTO Aswadi Alias
MAZLAN (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media hari ini. FOTO Aswadi Alias

Beliau berkata, hasil soal-siasat ke atas suspek, BSJN Sentul kemudian menyerbu satu lagi unit kediaman di sebuah kondominium di Taman United, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun, sekitar 5.40 petang hari yang sama.

"Suspek yang ditahan di lobi lif tingkat 6, kemudian membawa pihak polis ke kediamannya sebelum menemui dadah syabu seberat 30 kilogram (kg); heroin 2.9 kg dan 50,000 pil eramin 5 seberat lebih 14 kg.

"Berdasarkan siasatan, semua dadah ini boleh dibekalkan kepada 81,300 pengguna (penagih dadah)," katanya.

Katanya, susulan siasatan terhadap kedua-dua suspek, BSJN Sentul kemudian berkongsi maklumat dengan BSJN Daerah Brickfields sebelum membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, yang membawa kepada penemuan wang tunai RM394,000 pada Isnin lalu.

Sehari selepas itu, Bahagian Perlucutan Harta, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ,(JSJN) Kuala Lumpur, memeriksa kediaman sama dan menyita wang tunai RM201,080; matawang asing bernilai RM19,987.93 dan barang kemas berjumlah RM284,505.

Dua suspek yang ditahan pada 3 Julai lalu direman sehingga esok manakala seorang lagi suspek direman sehingga Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:14 PM